KUCHING: Badan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM)boleh memainkan peranan dalam mengecilkan jurang maklumat antara rakyat dan kerajaan.
Ia penting agar masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, walaupun dasar kerajaan baik, ia tidak akan memberikan manfaat kepada masyarakat sekiranya tidak sampai kepada kumpulan sasaran.
"Oleh itu, adalah penting untuk kita melihat realiti dan memandang ke hadapan.
"Dalam usaha membangunkan negeri, AZAM harus memberi tumpuan dalam mengurangkan jurang maklumat ini sebagai pemacu pembangunan negeri," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam AZAM Sarawak Ramah Tamah Aidilfitri: Raya Kali Tok di sini, malam tadi.
AZAM jelasnya juga berpotensi untuk memperluas impaknya bukan sahaja di Sarawak, malah ke seluruh rantau ASEAN dengan jaringan yang sudah terbina yang mana mereka dalam kedudukan yang baik untuk menjadi penanda aras serantau dalam komunikasi pembangunan.
Ini khususnya dalam aspek seperti penglibatan belia, pendidikan digital, media berasaskan komuniti dan inovasi sosial.
Awang Tengah turut merasmikan pelancaran laman sesawang AZAM Sarawak baharu yang bakal menjadi saluran rasmi komunikasi kepada agensi kerajaan, pemimpin komuniti, institusi pendidikan serta rakan pembangunan dari sektor swasta dan antarabangsa.
Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengerusi AZAM Sarawak Datu William Patrick Nyigor, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili serta tetamu kehormat yang lain.